Tuesday, April 20, 2010

Cerita lisan Cik Ait mengenai bahasa Melayu

Cerita lisan Cik Ait mengenai bahasa Melayu

Oleh: MAZLAN NORDIN



-- PENULIS ialah Karyawan Tamu Universiti Kebangsaan Malaysia



PERKEMBANGAN bahasa Melayu sejak zaman lampau hingga menjadi lingua franca di seluruh Nusantara terus dikaji oleh para sarjana dan penyelidik Barat. Seperti sebuah cerita yang disampaikan secara lisan di Besemah, selatan Sumatra.



Cerita tersebut, dalam bahasa Sumatra-Melayu, dilafazkan dua malam berturut-turut oleh seorang tua bernama Cik Ait. Ia dirakam dan selanjutnya diterjemah ke bahasa Inggeris oleh Profesor William A. Collins yang pernah mengajar di Malaysia dan Indonesia. Beliau dulunya mengajar ilmu antropoligi di University of California. Berkelay.



Karya beliau mengenainya berjudul The Guritan of Radin Suane: A study of the Besemah oral epic from south Sumatra (Kitlv Press, Leiden).



Beliau berharap bahawa cerita tersebut boleh digunakan oleh pakar-pakar bahasa Melayu dan Indonesia untuk membuat perbandingan. Ia juga boleh menjadi tatapan para siswa dalam jurusan pengajian masing-masing dan oleh para pembaca umumnya yang mungkin tidak begitu mengenali budaya Sumatra sebelum dan selepas perkembangan agama Islam.



Cerita tersebut mencerminkan pandangan sedunia penduduk Besemah yang dulu menjadi jiran empayar Srivijaya. Lalu disebut mengenai kampung Perau Dipo yang dibina 17 generasi lalu oleh seorang yang dianggap wali Allah bernama Puyang Awak.



Dari Besemah kemudiannya merebak gerakan Islam ke wilayah-wilayah lain di Sumatera Selatan, Lampong dan Bengkulu.



Profesor Collins berulang-alik ke Besemah selama 20 tahun manakala melakukan kajian-kajiannya. Lantas dicatat menenai kaum lelaki di situ biasanya memakai pisau di pinggang mereka kerana telah menjadi adat. Orang Besemah di kawasan berbukit-bukau Besemah dianggap agresif dan mudah marah hingga boleh menyerang sesiapa saja jika merasa diri mereka diperdaya atau ‘dianggap enteng’.



Juga dicatat betapa selama 150 tahun sistem sosial Besemah terus menerus dipengaruhi penduduk wilayah-wilayah tanah rendah sekitarnya. Sementara itu penjajah Belanda membawa masuk beribu-ribu buruh Jawa untuk bekerja di ladang-ladang kopi, teh dan kebun getah di kawasan pedalaman.



Lain-lain perubahan berlaku dalam masa pendudukan tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua dan perjuangan kemerdekaan melawan Belanda selanjutnya, maka orang- orang tua di Besemah kerap menyebut tentang ‘zaman sudah berubah’ dan ‘masa sakti sudah abis’ dan tiadanya lagi ‘diwe-diwe’ (dewa-dewa). Juga disebut betapa bahasa Jawa digunakan di Palembang oleh sultan dan para pembesar. Menjadi kebiasaan bagi seseorang menggunakan bahasa Jawa halus kepada raja dan yang berpangkat dan mereka pula membalas dengan bahasa Melayu kasar.



Antara perbandingan yang dicatat ialah ‘kute Tanjung Larang, dusun besak negeri rami, kute teguh gelumbang dalam’ dengan kisah penglipur lara Hikayat Malim Deman, berbunyi:



Pohon nyiur berbanjar-banjar

pohon pisang seperti pagar,

istana besar sembilan ruang,

tujuh ruang tujuh pemanah...



Dalam bab selanjutnya terdapat kata-kata mengenai ‘adat lawan ukum’ iaitu perbandingan di antara adat tempatan dan hukum-hukum syarak. Dijelaskan bahawa bagi penduduk Besemah ada aturan yang membezakan manusia (dan harimau) dengan haiwan lain .



Manusia dan harimau menunggu selama 40 hari selepas isteri bersalin dan hanya selepas itu barulah bersetubuh semula. Manakala haiwan lain tidak mengatur nafsu seks sedangkan ia berupa kunci ketertiban sosial.



Cerita berikutnya mengandungi perkataan ‘belum diajung’ mengenai sifat ideal seseorang suruhan seperti dalam Hikayat Malim Deman, berbunyi:



Belum disuruh sudah pergi

belum dipanggil sudah datang.



Cerita Cik Ait bersambung mengenai “sirih makanan ratu’’ dan ini dibandingkan dengan penglipur lara Hikayat Awang Sulong Merah Muda, berbunyi:



Sirih yang bergagang emas

pinang susun dibelah empat

kapur berlecet dengan ayer mawar

tembakau bernama ranting berjela.



Cit Ait meneruskan cerita mengenai manusia berkerumun ‘di balai panjang’ seperti ‘semut anai-anai’ ini pula dibandingkan dengan penglipur lara Hikayat Awang Sulung Merah Muda, berbunyi:



Yang capek datang bertongkat

yang buta meraba-raba

yang tuli leka bertanya

yang kecil terambin lintang

yang jarak tolak-tolakan

yang pendek tinjau-meninjau

yang kurap mengekor angin.



Bab ke-50 bercerita mengenai ‘embun layang’ (send out letters). Ini dibandingkan dengan penglipur lara Hikayat Malim Deman, berbunyi:



Yang jauh pesan kiriman

yang dekat melayangkan surat.



Cerita bersambung mengenai “Pacak cekak gayung Melayu, gendum Melayu atas angin,’’.



Ini dibandingkan dengan kisah Hikayat Malim Deman:



Diparang ke kiri melompat ke kanan

diparang ke bawah melompat ke atas

diparang ke atas menyusup ke bawah.



Cerita Cik Ait kemudian menyebut tentang si Rading Alit ‘membaca ku kitab setambunan, di baca sambil belakang, sepatah dikte kecicilan, tamat gale kitab-kitaban.’’ Lalu ini dibandingkan dengan penglipur lara Hikayat Awang Sulong Merah Muda, berbunyi:



Kadi membaca sehelai

ia membaca sejuz

kadi membaca sejuz

ia membaca tiga juz

kadi membaca dua puluh juz

ia membaca sampai khatam.



Seperti kata profesor Collins kemudiannya ia kian memahami cerita yang disampaikan oleh Cik Ait setelah kesekian kali mendengar semula rakaman. Kalau kita gimana?

-

-Utusan Malaysia 27 /8/2006